hover animation preload

Ancaman Terhadap Islam 1
by Ibnu Zainal Asmawi in

Kebejatan Sosial & Keruntuhan Akhlak

Salah satu ancaman terbesar yang dihadapi oleh umat Islam masa kini ialah keruntuhan moral yang berlaku di kalangan remaja. Data-data mengenai gejala sosial yang dilaporkan amat mengejutkan dan menakutkan kita. Dalam kajian mengenai moral perempuan yang dijalankan oleh seorang ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 886 daripada 887 pelajar dalam ketegori “berisiko tinggi” yang menuntut di sekolah menengah mengaku pernah melakukan hubungan seks. Kajiannya juga mendapati 98 peratus pelajar terbabit dalam kongsi gelap, 98.8 peratus ponteng sekolah, 97.3 peratus terdedah kepada bahan lucah.

Begitu juga dengan kebejatan sosial yang lain seperti kes pembuangan bayi juga didapati telah naik secara mendadak. Saban hari kita didedahkan dengan kejadian pembungan bayi yang menyayatkan hati di mana perkara ini tidak seharusnua berlaku dalam masyarakat yang dikatakan sudah bertamadun. Tetapi itulah hakikat yang perlu kita terima bahasa sebenarnya itulah yang berlaku di negara ini yang telah mencatatkan kelahiran anak-anak luar nikah yang cukup tinggi hasil daripada pergaulan dan seks bebas yang diamalkan oleh golongan muda mudi.

Dalam masalah penyalahgunaan dadah pula, usaha dan kempen yang dibuat oleh kerajaan BN tidak banyak meninggalkan kesan kerana kes-kes yang berkaitan dengan dadah juga didapati meningkat pada suatu kadar yang sangat membimbangkan. Remaja yang terlibat dalam masalah penagihan dadah telah mencecah ke angka ke setengah juta orang. Ini belum lagi melibatkan oleh pihak berkuasa yang sudah tentunya jumlahnya berkali ganda daripada yang dicatatkan dalam statistik rasmi.


Sejak akhir-akhir ini turut menyaksikan kemunculan beraneka kumpulan dan fahaman yang telah membawa keruntuhan akidah dan kemerosotan moral kepada golongan remaja. Di antara fahaman yang sedang berkembang dengan pesat ialah BLACK METAL yang merupakan satu ajaran memuja syaitan dengan tujuan untuk merosakkan pemikiran dan pegangan umat Islam. Para pengikut kumpulan ini terdiri daripada anak-anak muda melayu yang melakukan pemujaan terhadap syaitan dan mengajak untuk membenci agama. Salah satu cara memanisfestasikan perasaan anti agama itu ialah dengan mengoyak al-Quran sehingga tiba ke satu peringkat mereka kencing atas al-Quran itu secara beramai-ramai.

Terdapat berbagai-bagai kumpulan BLACK METAL bergerak di tengah-tengah masyarakat kita. Selain BLACK METAL, ada juga kumpulan lain yang dikenali sebagai Hard Metal, Death Metal, Industrial Metal, Gothic Metal, Rose Metal, Pink Metal, Red Metal, dan sebagainya.

Selain itu kemunculan kumpulan-kumpulan Sub Budaya yang lain seperti Punk, Mat Rempit, Hip Hop, Skin Head dan lain-lain. Semua kumpulan ini adalah ancaman kepada akidah dan moral remaja hasil daripada proses pemodenan dan pembangunan yang tidak terkawal serta seimbang di antara material dan spiritual itu. Ini menunjukkan bahawa ada kekurangan pada dasar pembangunan dan sosial negara yang gagal menangani masalah sosial serta keruntuhan akhlak secara berkesan. Masalah sosial ini diramalkan akan bertambah jika langkah-langkah yang segera dan efektif tidak diambil untuk ditangani.

Masalah jenayah di Malaysia seperti rogol dan pembunuhan berlaku pada setiap hari. Kes rogol yang dilaporkan sepanjang tahun 2006 sejumlah 2435 kes melibatkan semua golongan sama ada orang dewasa atau pun kanak-kanak. Beberapa kes pembunuhan yang berlaku amat memeranjatkan kerana apabila mangsa pembunuhan dikelar, dikerat-kerat, dibakar, dirogol, dibom dan sebagainya. Hanya dengan pemantapan akidah dan pengamalan agama secara menyeluruh di dalam kehipan sahaja yang mampu untuk mengembalikan maruah dan kegemilangan kepada umat Islam.

Marilah sama-sama kita berusaha dan bekerja untuk agama Allah. Pemerkasaan dakwah dan pemulihan akhlak amat perlu untuk menyelesaikan masalah ini. Sesungguhnya kerosakan dan kehancuran yang berlaku ini adalah hasil daripada tangan kita sendiri. Kerajaan pemerintah dan rakyat perlu melakukan perubahan dan menangani masalah ini secara bersama.

Rasullullah bersabda.."Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang dua perkara ini, iaitu Kitab Allah dan Sunnahku”. Jadi, janganlah kita mengamalkan undang-undang penjajah dan taghut. Ikutlah cara Islam yang sebenar kerana ISLAM adalah jalan penyelesaian. Wslam



0 comments:

Post a Comment